Kelebihan dan Kekurangan Melabur Di Unit Amanah (Unit Trust)

 Unit Amanah atau Unit Trust ialah suatu bentuk pelaburan yang mengumpulkan wang pelabur dan di uruskan oleh seorang pengurus dana professional yang akan melaburkan wang tersebut di dalam pelbagai portfolio sekuriti seperti saham Tenaga Nasional Berhad, saham Nestle, saham Top Glove, bon dan aset lain selaras dengan objektif pelaburan dana. Sekiranya aset yang dibeli untung, maka kita akan mendapat keuntungannya.

Apabila melabur dalam dana Unit Amanah, pelabur perlu menyelidik terlebih dahulu instrumen ini dan perlu bijak dalam membuat keputusan sebelum melabur. Hal ini kerana, kebanyakan pelabur dipengaruhi oleh beberapa  pemasaran ejen iaitu “memperoleh pulangan tinggi atau mendapat ganjaran tahunan”. Selain itu, sebelum melabur di dalam Unit Amanah, kita perlu memastikan bahawa ejen tersebut mendapat kelulusan dari Bank Negara ataupun Suruhanjaya Sekuriti Malaysia supaya tidak berlaku sebarang penipuan di masa hadapan.


Kebaikan dan Keburukan Unit Amanah

Mari kita lihat beberapa kelebihan sekiranya melabur di dalam Unit Amanah:


1. Kepelbagaian portfolio


Unit Amanah membolehkan pelabur melabur di pelbagai syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia seperti sektor telekomunikasi, sektor penjagaan kesihatan, barangan pengguna, hartanah dan sebagainya. Selain itu, ia juga boleh melabur di pasaran luar negara seperti Apple, Nike, Microsoft, Ali Baba dan banyak lagi syarikat besar.

Jadi apabila saham – saham tersebut itu sedang menaik, kita juga turut akan menikmati keuntungan pelaburan dari kenaikan saham yang sedang berlaku. Dengan mempelbagaikan portfolio pelaburan, pelabur ibarat tidak “meletakkan semua telur dalam satu bakul” yang mana ia dapat mengurangkan risiko.

2. Pengurus dana profesional

Dana Unit Amanah diuruskan sepenuh masa oleh pengurus dana professional yang mempunyai kemahiran, kepakaran dan pengalaman untuk memaksimumkan pelaburan. Hal ini kerana, tidak semua mempunyai masa dan kemahiran untuk mengawasi instrument pelaburan mereka.

Setiap pengurus dana professional mempunyai lesen untuk menjalankan urusan jual beli unit dan mengawal selia pelaburan agar mencapai matlamat pelaburan yang ditetapkan.

3. Kemudahan transaksi

Pelaburan dalam Unit Amanah adalah mudah dan ringkas berbanding pelaburan langsung dalam sekuriti lain. Terdapat beberapa cara untuk melabur. Antaranya adalah secara tunai atau melalui akaun KWSP dan ia memerlukan perbelanjaan modal yang minimum menjadikannya berpatutan kepada pelabur yang baru bermula dan mempunyai dana terhad.

4. Kecairan

Pelaburan Unit Amanah boleh di beli dan di jual dengan mudah tanpa perlu menunggu masa yang lama. Namun, kita perlu tahu bahawa sifat Unit Amanah adalah pelaburan jangka sederhana dan panjang yang menggalakkan untuk melabur minimum 3 tahun dan ke atas untuk mendapat hasil yang berbaloi.

Selain itu, terdapat juga beberapa keburukan yang perlu kita ambil tahu sebelum melabur dalam Unit Amanah ini antaranya adalah:

1. Ejen-ejen yang tidak beretika

Di dalam Unit Amanah, yang perlu diambil berat oleh pelabur ialah pemilihan ejen. Kebanyakan ejen-ejen Unit Amanah ini hanya mengejar target atau ‘close sale’ dengan meletakkan janji-janji manis seperti memperoleh pulangan yang tinggi dalam jangka masa yang singkat. Oleh itu, pelabur seharusnya bertindak bijak dengan mengajukan pertanyaan yang berkaitan dan meminta mereka menyertakan bukti bahawa syarikat mereka boleh dipercayai dan menguntungkan.

2. Caj atau Upah yang tinggi

Secara amnya, caj yang dikenakan kepada pelabur untuk melabur dalam Unit Amanah adalah tinggi. Terdapat dua bayaran iaitu caj perkhidmatan permulaan (bayaran kemasukkan) dan bayaran pengurusan tahunan. Sebagai contoh:

  • Ada syarikat yang mengenakan caj 5% hingga 7% berdasarkan nilai aset bersih saham yang ditentukan oleh pengurus dari masa ke masa. Sebagai contoh, anda melabur sebanyak RM12,000, maka sebanyak RM600 akan dipotong sebagai caj dan amaun pelaburan sebenar anda hanyalah sebanyak RM11,400. Ia menjadikan modal kita semakin berkurang.
  • Bayaran pengurusan tahunan tidak lebih 1% setahun nilai bersih atas dana yang dibahagi 365 hari atau jumlah hari dalam setahun.

3. Tiada pengimbangan portfolio (reconstruction portfolio)

Seperti yang kita semua tahu, Unit Trust atau Unit Amanah ini membeli pelbagai jenis instrumen pelaburan. Tetapi, yang menjadi masalahnya ialah apabila pengurus dana atau ‘fund manager’ tidak melakukan pengimbangan semula portfolio (reconstruction portfolio). Hal ini akan menyebabkan kita terlepas pandang atau tidak mendapat keuntungan dan menjadikan tempoh pengambilan keuntungan itu menjadi semakin lama.

4. Tidak sesuai untuk pelaburan jangka pendek

Kebiasaannya, pemerolehan keuntungan dalam Unit Amanah memerlukan masa yang panjang. Ini yang menyebabkan Unit Amanah tidak sesuai untuk pelabur yang mahukan keuntungan dalam jangka pendek.

Kesimpulan

Artikel ini menerangkan beberapa kebaikan dan keburukan melabur dalam Unit Amanah. Kebiasaannya, kekurangan atau keburukan Unit Amanah ini tidak diberitahu oleh ejen sedangkan kita sudah melabur.

Oleh itu, kita sebagai pelabur perlu bijak dalam memilih instrumen portfolio masing-masing dan sering bertanya kepada perundingcara Unit Amanah sebelum memulakan pelaburan supaya kita benar-benar faham caranya. Sebenarnya dengan Unit Amanah ini, ianya dapat melawan inflasi negara.

Pelabur perlu mengelakkan perasaan tergesa-gesa untuk mendapatkan keuntungan kerana Unit Amanah ini merupakan pelaburan jangka masa panjang.

Sumber : Majalah Labur



.


Comments

Popular posts from this blog